|
Menentang Penjajahan - Peranan sastera remaja Islam
Oleh Faisal Tehrani
Sementara Profesor Taha Hussein dalam bukunya Min Tarikh al Adab menyatakan bahawa sastera Islam itu berlandaskan kepada kebenaran dan tidak pula bercanggah dengan hukum Tuhan. Di dalam dunia yang dilanda peperangan hari ini, umat Islam digasak secara fizikal mahupun mental, justeru tugas-tugas besar sastera Islam sangat penting dihalakan terhadap remaja kita. Ini ialah kerana remajalah mangsa yang mudah terdedah di dalam pertempuran antara Islam dan Barat Kristian. Tugas-tugas sastera Islam dewasa ini telah pun disebutkan sedikit sebanyak dalam bahagian sebelumnya. Kini, sastera Islam bukan sahaja berperanan untuk mempertahankan remaja muslim tetapi juga menggempur barat dengan karya sastera. Sasterawan-tentera harus mengambil kira kata-kata Hazrat Ustaz Suleyman Hilmi Tunahan bahawa `apabila anak-anak Islam seperti kayu hanyut ke jurang neraka, kemampuan menyelamatkan walau satu balak sekalipun adalah bonus.' Justeru harus difahami di dalam kecamuk perang yang dahsyat, karya sastera serius meskipun tidak dapat menangkap minat ramai remaja tetap harus dipersembahkan dengan kreatif. Saranan Hazrat Ustaz Suleyman Hilmi Tunahan bahawa kita harus mendekati remaja dan bukan menanti remaja datang kepada kita amat tepat di dalam mempromosi karya sastera Islam sebagai senjata dan perisai. Khususnya di dalam dunia yang menuntut generasi baru umat Islam gigih bangkit menentang isti'mar. Sesudah siri perang Salib, barat telah menghantar kuasa mereka ke timur dan buat beratus tahun kemudiannya mencengkam menjajah umat Islam. Kelesuan Oleh kerana dunia Islam kala itu mengalami pelbagai kelesuan, serangan barat Kristian menjadi sangat mengerikan. Keadaan istisba' (serangan kejam) itu dapat diibarat serangan binatang buas ke atas mangsanya dengan mangsa sebagai mustasba' iaitu mangsa dalam keadaan amat tidak berdaya. Aksi membaham dan mencekik dari penjajah berterusan hingga benih yang mereka taburkan sendiri, iaitu kebangkitan nasionalisme, membuatkan mereka berlakon untuk memberi kebebasan sesudah mangsa yang dikerah telah pun amat parah. Kemerdekaan terhad diberikan dan dengan kelahiran negara bangsa membolehkan barat terus menjajah minda umat Islam, menekankan pemikiran, cara hidup, hak menentu dan sistem mereka ke atas umat Islam. Isti'mar atau penjajahan yang dilakukan oleh barat ke atas umat Islam itu ialah untuk memeras segala sumber hidup kita, menggelidah dan merompaknya lalu di bawa ke negara mereka. Kemerdekaan terhad yang diberikan kemudian membolehkan kita mengurus sumber kita sendiri tetapi mengikut kaedah mereka, akur di dalam batas yang telah mereka tetapkan. Dalam erti kata lain isti'mar masih berlangsung, sumber umat Islam masih menjadi habuan barat. Sesungguhnya sasterawan-tentera harus menyedari bahawa Islam telah merungkai keadaan ini lama dalu. Yakni apabila Rasulullah s.a.w masuk ke kota Mekah, membukanya semula dan menawarkan pengampunan. Sesudah peristiwa sejarah yang sangat penting itu satu lagi perang yang amat mengajar kita telah berlaku. Tiga puluh ribu tentera Islam dikerah ketika perang Hunain, satu jumlah yang sangat besar meraih jumlah harta tawanan yang juga sangat lumayan. Rampasan termasuklah enam ribu tawanan perang, dua puluh empat ribu unta, lebih dari empat puluh ribu kambing, barangan perak yang besar jumlahnya selain barangan harian yang tidak terhitung. Kekayaan ini tidak dipunggah dan di bawa ke Madinah. Secara rasionalnya, adalah wajar Rasulullah s.a.w membawa pulang semua harta rampasan ini dan mengagihkannya kepada penduduk Madinah yang telah membantunya di saat getir sebagai satu habuan balasan. Tetapi sebaliknya negara Islam Madinah hanya mengambil seperlima, bakinya dibahagikan menurut hukum Islam di kalangan para pejuang. Hakikat bahawa sumber `negeri yang ditakluk' tidak dibawa pulang untuk menyuburkan `negeri yang menakluk' telah diajar Islam dan terpancar penuh menerusi sirah Rasulullah s.a.w. Persoalan perkauman, sangkaan superioriti bahawa bangsa-bangsa tertentu seperti barat lebih hebat dari bangsa timur telah dihurai secara menakjubkan di dalam surah al-Hujurat, ayat ke-13: Hai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu dari laki-laki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang termulia di antara kalian adalah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Jalan Inilah jalan kesejahteraan yang ditawarkan oleh Islam iaitu dasar takwa. Nilai-nilai fantasi bahawa ada bangsa tertentu lebih superior digantikan dengan nilai-nilai takwa. Ajaran yang terdapat di dalam ayat di atas ialah kemuliaan seseorang insan tidak terletak pada warna kulit putih atau hitamnya mereka, wajah cantik atau hodoh, termasuk keturunan serta tempat tinggalnya. Kepatuhan dan penyerahan diri kepada Allah adalah asas yang paling memuliakan di mata Pencipta kita. Barat benar-benar sedar mengenai hal ini dan menyarankan ketika serbuan dari `penakluk' dilakukan ke atas `yang tertakluk' bahagian yang paling ngeri ialah untuk menyentap sumber spiritualiti umat Islam malah dunia ketiga seluruhnya dan menggantikan dengan nilai-nila khayal mereka. Nilai-nilai takwa ini bakal mendorong kepada inti persoalan seterusnya yang difirmankan oleh Allah taala di dalam sebahagian ayat 11 surah al-Mujadalah: Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berpengetahuan. Umat Islam pernah menguasai dunia dengan kekuatan ilmu yang luar biasa. Seperti yang disebutkan oleh filsuf Perancis, `penghargaan yang diberikan oleh kaum muslim terhadap penemuan dan pengumpulan ilmu pengetahuan sangat mempesonakan. Tidak ada satu kelompok masyarakat pun yang dapat mengatasi mereka. Pada kota-kota yang mereka taklukkan mereka tidak memeras sebaliknya segera didirikan masjid dan institusi. Masjid dibangunkan untuk membangunkan idea dan moral masyarakat. Institusi seperti sekolah didirikan untuk meningkatkan ilmu dan pemahaman penduduk. Inilah sumbangan Islam yang amat besar'. Sastera Islam untuk remaja hari ini amat perlu menekankan bahana isti'mar dan persoalan yang berlegar di sekitarnya. Sastera Islam bukan sahaja akan menjadi perisai benteng bahkan senjata gempur untuk berdepan dengan serangan musuh Islam khususnya dari barat. Sesungguhnya subjek sasterawan-tentera ini amatlah luas dan rencana panjang ini hanyalah satu pendahuluan ringkas sahaja. Dengan izin Allah kelak ia akan dikupas dengan lebih mendalam. |
| Leave a Comment: |